wajib lunas hutang


SOALAN:

Apabila seorang anak berhutang dengan ayahnya, kemudian ayahnya meninggal dunia. Hutang tersebut masih belum dibayar. Adakah rohnya akan terapung disebabkan perkara tersebut ataupun rohnya tidak apa-apa.

Adakah hutang tersebut perlu dihalalkan sahaja sedangkan ibunya masih ada?

Jawapan:

Abu Hurairah menuturkan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jiwa (roh) seseorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilunasi". (riwayat At-Tarmidzi, Ibn Majah, dan Al-Baihaqi)

Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah SAW jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: "Adakah mayat ini masih menanggung hutang?" Sahabat menjawab: "Ya, Rasulullah".

Baginda bertanya: "Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya?" Jawab sahabat: "Tidak". Lalu baginda bersabda: "Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu". Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya.

Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: "Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya". Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: "Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat kelak". (riwayat At-Tabrani)

Said ibn al-Athwa mengisahkan: "Ayah kami meninggal dunia dengan meninggalkan 300 dirham, juga keluarga dan hutang. Aku ingin memberikan nafkah kepada keluarganya", lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ayahmu tertahan oleh hutangnya (rohnya tertahan). Oleh kerena itu bayarlah hutangnya itu". (riwayat Ahmad)

Inilah di antara hadis-hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada mereka yang berhutang sedang bertemu ajal sebelum melangsaikan hutang semasa hidup.

Jelas sekali dalam hadis-hadis baginda, bahawa mereka yang berhutang terpaksa berhadapan dengan hukuman roh yang tidak diterima untuk mendapat balasan.

Sebenarnya, keadaan sebegini adalah sangat rumit kerana roh sepatutnya berada di alam barzakh bagi menemui nasib sama ada baik atau buruk. Tanpa mengetahui nasib tempat persinggahan adalah azab.

Berkaitan dengan soalan anda, saudara juga akan berhadapan dengan keadaan yang sama sekiranya saudara gagal melangsaikan hutang kepada mereka yang saudara berhutang walaupun hutang itu saudara beroleh daripada ayah sendiri, melainkan hutang itu dihalalkan.

Hutang tetap atas leher orang yang berhutang selagi mana ia tidak dihalalkan. Dalam keadaan sekarang saudara perlu melangsaikan hutang tersebut kepada waris terdekat iaitu bonda saudara, sekiranya bonda juga telah sudah tiada, bayaran itu kepada adik-beradik yang belum baligh, kerana mereka bergelar yatim.

Jika adik-beradik semuanya dewasa, maka duit hutang digunakan bagi melangsai hutang ayah jika ada. Sekiranya semua keadaan itu tidak wujud maka duit hutang dimasukkan dalam harta pusaka untuk diagihkan kepada secara faraid.

Justeru, Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak.

Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya.

Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang".

Read more: http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A265296&xgs=1&xg_source=msg_share_topic#ixzz0bnNGFuMZ

Comments

Popular posts from this blog

Buah Epal

Yahudi Berhajat Menghapuskan Mekkah..